Latest Post

Showing posts with label Puisi. Show all posts
Showing posts with label Puisi. Show all posts

Puisi - Jangan Pinta Aku Jatuh Cinta Padamu Kembali

Written By Pentadbir on Monday, October 26, 2015 | 9:24 PM

Suatu ketika dahulu,
aku tidak pernah berpaling
dan terus memandang
bayanganmu yang semakin menjauh.

Suatu ketika dahulu,
aku tidak pernah melangkah
merawat hati yang rekah
mengutip harapan yang pecah.

Suatu ketika dahulu,
aku kekal terpaku
menunggu dan menunggu dan menunggu
kepulangan dalam rindu.

Suatu ketika kini
Jangan pinta aku jatuh cinta padamu kembali
kerana aku tidak pernah memungkiri
kerana aku masih di sini.

Nukilan pena:
KetamGila MadCrab
S24, Shah Alam,
26-10-2015,
2114hrs

Puisi - Jawapan Neon 2

Written By Pentadbir on Thursday, October 22, 2015 | 10:46 PM

Jawapan Neon 2


 Aku yang semakin malap
buta dalam kesamaran
menggapai dalam kejauhan
masih mencari kekuatan
yang tinggal sisa-sisa

Aku yang semakin tuli
mendengar pada kebisuan
menelek pada bisikan
dan terkapar dalam keriuhan

Aku yang tidak lagi bersuara
hanya mengelus rajuk hiba
dalam satu dambaan
bernama penyendirian.

Adhoc Idea:
KetamGila MadCrab
S24, Shah Alam
22-10-2015 

2247hrs. 

Puisi - Bila kau tak berkata apa-apa

Written By Pentadbir on Wednesday, October 21, 2015 | 1:49 PM

Bila kau tak berkata apa-apa

Bila kau tak berkata apa-apa
aku jadi tertanya-tanya
apa yang terpendam
apa yang tenggelam
apa yang terdendam
apa yang terkalam

Bila kau tak berkata apa-apa
aku jadi keliru
apa yang terbuku
apa yang terbeku

Bila kau tak berkata apa-apa
aku tidak mendengar apa-apa

Adhoc Idea:
KetamGila MadCrab
S24, Shah Alam
21-10-2015
1347hrs.

Puisi - Topeng Kehidupan

Written By Pentadbir on Thursday, October 1, 2015 | 6:06 AM

Izinkan aku
menyingkap senyuman
dan menadah airmata duka
yang tidak pernah terpamer
selama ini.

Izinkan aku
menyingkap keceriaan
dan meningkah sedu sedan
yang tidak pernah berlagu
ketika ini.

Izin aku
menyingkap kepura-puraan
yang membelenggu
satu kehidupan

Adhoc Idea:
KetamGila MadCrab
S24, Shah Alam
30-09-2015
2216hrs.

Puisi Lintang Pukang 3

Written By Pentadbir on Thursday, June 25, 2015 | 7:57 AM

Aku hanya separuh waras
Gila pula di bawah aras
Kalau sunyi aku menebas

Dari puncak sampai belebas
Sambil meninjau bas yang lepas
Dari atas bukit dengan kaki kebas
Tenangkan hati rehat sampai puas
Tunggu WhatsApp belum berbalas
Mohon maaf dosa yang lepas
Dari kawan-kawan juga bekas-bekas
Sementara hidup sebelum aku keras.

Adhoc idea:
KetamGila MadCrab
SDMC Subang Jaya
17-06-2015
0925hrs.

Hanya dapat kubayangkan

Written By Pentadbir on Tuesday, March 5, 2013 | 11:08 AM

Hanya dapat kubayangkan
perit kulit
pedih luka
jerut maut
di hujung senjata

Hanya dapat kubayangkan
sedih pilu
sendu sayu
isteri dan anak-anakmu
mendengar berita

Hanya dapat kubayangkan
jiwa cekal
semangat kental
menentang si dajal

Di celah-celah airmata ini
marah dan dendam membara
pada si Kitul yang derhaka
pada si laknat yang mencela
atas pengorbananmu PERWIRA

Di celah-celah airmata ini
Kutangisi pemergianmu PEMBELA PERTIWI

adhoc:
K.G. Zan,
Shah Alam
05032014-1056hrs
Untuk Pahlawan yang terkorban di Lahad Datu akibat penceroboh Sulu!


Puisi: Bukan Aku Yang Memutuskan

Written By Pentadbir on Tuesday, February 12, 2013 | 7:38 PM



Bahagian 1 

Masih aku ingat,

Ketika itu aku diheret di celah ribu
Padang NSCRC tempat dituju
di tepi pentas telah tertumpu
ruang jelas jadi kelabu

Lalu,
kelihatan gagah seraut wajah
si songkok senget mula bermadah
mengangkat tangan sambil merayu
bersatulah bangsaku

Itulah Tun Razak
ketika mencari titik pertemuan
memperkenalkan gabungan terbesar rakyat sezaman


Bahagian II

Masih aku ingat,

Sebulan sudah,
 satu cermah di belakang rumah
memaki mencaci penuh fitnah
memekik terlolong sumpah seranah

Dan semalam,
juga di belakang rumah yang kelam
kembali rioh suara menderam
menangkis menepis dengan geram

Bukan aku yang memutuskan

Adhoc Idea:
KetamGila MadCrab
12/02/2013 - 7:24pm

Puisi: Hanya secebis kenangan (1)

Written By Pentadbir on Wednesday, November 21, 2012 | 11:58 AM

Bermulanya Satu Penyendirian
 
Suatu waktu dulu,
ketika cinta mencurangi dirimu,
ketika hati dihambat sayu,
aku muncul,
dengan secebis hati pilu,
dengan rindu yang berlalu,

Dan
kita berdua mencuba semula,
membina impian dari sisa-sisa,
yang terbiar dan sia-sia,

Dan
kembali kita mencipta sejarah,
dari satu kelukaan yang parah,
yang berdarah dan bernanah,

Rupanya,
aku hanya sandaran,
ketika usia meniti zaman,
 sebelum kau memulakan satu penyendirian.

K.G. Zan,
Shah Alam,
21/11/2012 - 1154hrs

Puisi: Rupanya Cinta Itu Semakin Indah

Written By Pentadbir on Wednesday, October 31, 2012 | 2:54 AM

Rupanya cinta itu semakin indah
bila mimpi mengulit lena
dan mengintai nostalgia

Rupanya cinta itu semakin indah
bila terlerai tangan di persimpangan
walau sedetik dihujung perpisahan

Rupanya cinta itu semakin indah
bila senyum meniti bibir
dan kata bertingkah-tingkah

Rupanya cinta itu semakin indah
bila kerinduan semakin mengada-ngada
mencari ruang dalam kejauhan

Rupanya cinta itu semakin indah
dalam doa di kaki Kaabah.

Nukilan Pena:
K.G. Zan,
Shah Alam
0246hrs
31hb Oktober 2012

Puisi: Cinta Dulu dan Sekarang

Written By Pentadbir on Monday, September 10, 2012 | 3:22 PM

Kalau dulu,
Bila teruna menjeling,
Sang perawan tersenyum sumbing
dan berpaling memandang keliling
takut pada mata terbuntang dan juling.

Sekarang,
Tak sempat senyum, tegur dan sapa
"This is my card" katanya
siap emel, nombor telefon dan alamat bekerja.

Kalau dulu,
Kukirim rindu di angin lalu
Sambil bernyanyi di pohon jambu
Dan kesetiaan kian mengusik kalbu
tanpa rasa curang atau cemburu

Sekarang,
Hantar sms sambil makan
bait-bait terputus-putus di tengah jalan
ejaan bukan ikut Kamus Dewan
kalau tak jawab maknanya mesyuarat dengan Pengarah Kanan

Nukilan Pena:
K.G. Zan,
Shah Alam,
10-09-2012
1539hrs

Puisi Lintang Pukang 2

Written By Pentadbir on Sunday, August 5, 2012 | 10:47 PM

Imbau kenang muda-muda
masa mula-mula jatuh cinta
tulis surat panjang berjela
lebar sehasta panjang tiga ela
kejap sebut bulan kejap sebut purnama
kejap sebut mentari kejap sebut suria
kejap sebut demam kejap sebut selsema
kejap sebut berduka kejap sebut merana

bila siap aku lipat warkah konon carik dada
bucu tiga bucu lima kadang-kandang macam bunga
masuk sampul surat warna biru muda
letak sikit Amami atau "Baby Powder"
surat sampai tiga hari saja

Habis sekolah belajar menaip pula
pakai Remington atau Olympia
letak jam meja sebelah untuk sukat masa
dari dua jari sampai bergerak semua
dari patuk ayam sampai duapuloh lima kata-kata

kini,
bila mesej facebook aku buka
hantar hari ini sekejap dah dijawabnya
"Hari ini awak ada pergi mana-mana?"
Dia jawab "Sya x mna2. "
"Kenapa?"
Dia jawab "rodblk. xlesen. rtax ninggal dunia"

Aku senyum dan beri alasan sendiri
bukan kurang bahasa tapi kurang butang di papan kekunci

Adhoc Idea:
KetamGila MadCrab
04/08/2012 - 1:08pm
Facebook

Puisi Lintang Pukang

Bila susah-susah aku dudok sorang-sorang
mengenang dan mengerang
pada sakit yang mendatang
pagi atau petang
tak sempat berpantang berlarang
kerana sakit itu makin garang
meratah tulang belulang

Bila susah-susah aku jalan sorang-sorang
airmata berjurai bergenang-genang
tinggal-tinggalkan yang tersayang
kerana aku tak mahu susahkan orang
yang nanti akan mengenang dan mengerang
meratap pada nasibku yang malang.

nanti,
bila senang aku pulang
aku cerita lagi panjang-panjang
dari pagi sampai petang
supaya yang tersayang tertawa senang
walau sampai terbongkang atau terlentang
kerana ketika itu aku sudah senang
untuk bagi yang tersayang juga senang-lenang

semoga
pada satu petang
anda semua akan terkenang
pada insan ini yang lintang pukang
dan terus tersenyum tenang senang

adhoc idea:
KetamGila MadCrab
2/8/2012 - 12:38pm
Facebook

Puisi - Senja Di Masa Lalu

Written By Pentadbir on Tuesday, June 15, 2010 | 6:49 PM

I,
  • Senja itu,
  • terukir pertemuan
  • dari sapa ramah mesra malu
  • tanpa perjanjian
  • tanpa perancangan
  • tanpa permintaan.
  • Menyusul ucapbicara bercanda
  • gurau renungan
  • sentuhan hati
  • mengisi kesunyian
  • kesepian
  • kekosongan
  • Menyusul perjalanan
  • tanpa tujuan
  • tanpa perhitungan
  • mengejar masa berlalu
II
  • Senja itu,
  • terpinga-pinga rajawali
  • mencari perhentian tanpa rela
  • dan sekuntum mawar merah
  • menghiasi suasana
  • memenuhi citarasa
  • kembang semerbak harum
  • Berdosakah insan ini
  • menghiris sekeping janji?
  • Dan
  • persoalan di persimpangan
  • bukan bukti ketidaksetiaan
  • bukan pasti kecurangan
  • tetapi
  • kejujurankah?
III
  • Senja itu,
  • ada alunan mendayu
  • bergema di kesepian waktu
  • terdampar dalam pencarian
  • terkapar tanpa pengertian
  • Dan
  • bersuara camar
  • gelombang menyusul pantai
  • namun
  • teguhkah penantian ini?
  • Tiada kepastian.
  • Siapa akan terluka?
  • Aku?
  • Dia?
  • Atau dia?
IV
  • Senja itu
  • pertemuan dimamah masa
  • dan
  • berlalu tanpa ucapbicara.
Oleh:
K. G. Zan
Shah Alam

Puisi: Takhta Kasih

Written By Pentadbir on Tuesday, June 1, 2010 | 3:23 AM


Di persada ini
bertakhta sekuntum senyuman
menghiris luka sebuah kehampaan.

Dan,
berlalu sebuah kenangan
dibawa debu
di remang kota.

Dan,
bermula sebuah pencarian
dengan tekad
dengan kehinaan.

Di persada ini
kutakhtakan sebuah harapan
dari kehancuran

Oleh:
K.G. Zan
Shah Alam

Puisi - Balada Untuk Bidadari

Written By Pentadbir on Wednesday, May 19, 2010 | 5:03 PM



Kehadiranmu
di sebalik tirai kedukaan
hanya dengan manjatawa
hanya dengan gurausenda

Lalu
denyut-denyut yang tinggal sisa
menjadi gendang perang
langkah-langkah yang telah longlai
menghentak membekas jejak perwira

Siapakah engkau
yang kucari dari sebalik awan
yang kudamba dari puncak gunung?
Bidadarikah?
Pari-parikah?
atau
seperti aku insan yang pasrah?

Dan
aku terpinga-pinga
di celah pusara yang tersusun
menilik persemadian kekal
bersama
secari harapan yang tertinggal

Berdosakah aku
melalaikan sekeping janji
alpa pada sebuah pengharapan
sedangkan
aku kedaifan

Berdosakah aku
bersama tangis sendu seorang perawan
bersama luluh hancur sebuah harapan
sedangkan
aku tidak berdaya

Berdosakah aku?

K. G. Zan Shah Alam, Selangor

Puisi - Suara Siapakah Di Talian Kaku

Written By Pentadbir on Tuesday, May 18, 2010 | 10:23 PM


Tetapi suara itu
masih sudi bergema di titian waktu
melampiaskan pendambaan semusim
dan mengisi sisa-sisa usia

Jadilah aku peragu
dan penantian yang sering menyiksa-nyiksa
dan hujung sebuah kehidupan yang terbiar
terlalu hampir kini.
Jadilah aku seorang pemberang
pada beburung yang berkicauan
mengganggu sepi kesyahduan
pada dedaunan yang melambai
membatasi tenang pandangan

Jadilah aku seorang pelarian
dari penantian sebuah kematian
dari perjalanan ke arah persemadian
yang sering dinujumtilikan

Tetapi suara itu
masih sudi menyapaku.

Oleh: K. G. Zan

Puisi - Benci Yang Berlalu


Di sini
kususuli kembali
jejak-jejak yang tertinggal
oleh kebencianmu

Dan
memancar satu pengharapan
pada satu pertemuan
yang mungkir

Dan
kebencianku
kian menepi
oleh kerinduan

Oleh: K.G. Zan
Chow Kit Road, KL

Puisi - Mentera Kasih


Hai insan bernama perempuanku
tahu asal usulmu
kerana kau adalah aku
kerana aku sebahagian darimu
kerana kau sebahagian dariku
datanglah padaku
kerana aku akan datang padamu

Hai insan bernama perempuan
tercipta dari setitik kasih
terbentuk dari setompok darah
lahir bersama segumpal daging
menyerahlah
kerana aku akan menyerah
dengan kesedaran dan keikhlasan

nukilan pena:
K.G. Zan
Shah Alam