Latest Post

Puisi: Hanya secebis kenangan (1)

Written By Pentadbir on Wednesday, November 21, 2012 | 11:58 AM

Bermulanya Satu Penyendirian
 
Suatu waktu dulu,
ketika cinta mencurangi dirimu,
ketika hati dihambat sayu,
aku muncul,
dengan secebis hati pilu,
dengan rindu yang berlalu,

Dan
kita berdua mencuba semula,
membina impian dari sisa-sisa,
yang terbiar dan sia-sia,

Dan
kembali kita mencipta sejarah,
dari satu kelukaan yang parah,
yang berdarah dan bernanah,

Rupanya,
aku hanya sandaran,
ketika usia meniti zaman,
 sebelum kau memulakan satu penyendirian.

K.G. Zan,
Shah Alam,
21/11/2012 - 1154hrs

Puisi: Rupanya Cinta Itu Semakin Indah

Written By Pentadbir on Wednesday, October 31, 2012 | 2:54 AM

Rupanya cinta itu semakin indah
bila mimpi mengulit lena
dan mengintai nostalgia

Rupanya cinta itu semakin indah
bila terlerai tangan di persimpangan
walau sedetik dihujung perpisahan

Rupanya cinta itu semakin indah
bila senyum meniti bibir
dan kata bertingkah-tingkah

Rupanya cinta itu semakin indah
bila kerinduan semakin mengada-ngada
mencari ruang dalam kejauhan

Rupanya cinta itu semakin indah
dalam doa di kaki Kaabah.

Nukilan Pena:
K.G. Zan,
Shah Alam
0246hrs
31hb Oktober 2012

Besame Mucho versi Melayu

Written By Pentadbir on Friday, September 14, 2012 | 11:41 PM

Lagu ini adalah atas permintaan Jan Moez yang ingin menggunakannya dalam kempen alam sekitar. Melodinya menggunakan lagu asal Besame Mucho:


Bersama Dunia

Bersama, bersama kita
menikmati indahnya dunia yang fana
bersama, bersama kita
mendamba nyaman udara menusuk dada

Korus:
Pohon yang hijau melambai-lambai
di dunia ini yang indah permai
nyanyian burung yang sungguh merdu
mendamaikan resah hati yang sayu

Wahai kawan, dan juga taulan
janganlah abaikan hadiah dari Tuhan
bersama, berpimpin tangan
semoga damai dunia akan berpanjangan.

ditulis semula oleh:
K. G. Zan @ KetamGila @ MadCrab
2353hrs - 14September 2012

Masih sempatkah lagi esok untuk seorang anak?

Written By Pentadbir on Tuesday, September 11, 2012 | 9:51 PM

Terlambat pulang

Wahai ibu,
Entah dengan apa akan kami balas,
Kami berempat ibu besarkan,
Dengan sabar hati ibu adakan,
Beras segantang yang nak ditanakkan
Upah menuai, menumbuk padi orang,

Sudah tiba,
masanya kami pulang ke kampong,
jemput ibu kubawa terbang (pergi)
pengubat hati selama ini,
Kini tiba masanya kami senangkan
pengangkat lukah selama ini yang terbenam

Liku berliku jalan yang ke hilir (baruh)
di sana berlari si kuda bendi (kereta kuda sewaan)
tangga patah pintu dah runtuh,
kuintai ibu tidak bersuara


Puisi: Cinta Dulu dan Sekarang

Written By Pentadbir on Monday, September 10, 2012 | 3:22 PM

Kalau dulu,
Bila teruna menjeling,
Sang perawan tersenyum sumbing
dan berpaling memandang keliling
takut pada mata terbuntang dan juling.

Sekarang,
Tak sempat senyum, tegur dan sapa
"This is my card" katanya
siap emel, nombor telefon dan alamat bekerja.

Kalau dulu,
Kukirim rindu di angin lalu
Sambil bernyanyi di pohon jambu
Dan kesetiaan kian mengusik kalbu
tanpa rasa curang atau cemburu

Sekarang,
Hantar sms sambil makan
bait-bait terputus-putus di tengah jalan
ejaan bukan ikut Kamus Dewan
kalau tak jawab maknanya mesyuarat dengan Pengarah Kanan

Nukilan Pena:
K.G. Zan,
Shah Alam,
10-09-2012
1539hrs

Puisi Lintang Pukang 2

Written By Pentadbir on Sunday, August 5, 2012 | 10:47 PM

Imbau kenang muda-muda
masa mula-mula jatuh cinta
tulis surat panjang berjela
lebar sehasta panjang tiga ela
kejap sebut bulan kejap sebut purnama
kejap sebut mentari kejap sebut suria
kejap sebut demam kejap sebut selsema
kejap sebut berduka kejap sebut merana

bila siap aku lipat warkah konon carik dada
bucu tiga bucu lima kadang-kandang macam bunga
masuk sampul surat warna biru muda
letak sikit Amami atau "Baby Powder"
surat sampai tiga hari saja

Habis sekolah belajar menaip pula
pakai Remington atau Olympia
letak jam meja sebelah untuk sukat masa
dari dua jari sampai bergerak semua
dari patuk ayam sampai duapuloh lima kata-kata

kini,
bila mesej facebook aku buka
hantar hari ini sekejap dah dijawabnya
"Hari ini awak ada pergi mana-mana?"
Dia jawab "Sya x mna2. "
"Kenapa?"
Dia jawab "rodblk. xlesen. rtax ninggal dunia"

Aku senyum dan beri alasan sendiri
bukan kurang bahasa tapi kurang butang di papan kekunci

Adhoc Idea:
KetamGila MadCrab
04/08/2012 - 1:08pm
Facebook

Puisi Lintang Pukang

Bila susah-susah aku dudok sorang-sorang
mengenang dan mengerang
pada sakit yang mendatang
pagi atau petang
tak sempat berpantang berlarang
kerana sakit itu makin garang
meratah tulang belulang

Bila susah-susah aku jalan sorang-sorang
airmata berjurai bergenang-genang
tinggal-tinggalkan yang tersayang
kerana aku tak mahu susahkan orang
yang nanti akan mengenang dan mengerang
meratap pada nasibku yang malang.

nanti,
bila senang aku pulang
aku cerita lagi panjang-panjang
dari pagi sampai petang
supaya yang tersayang tertawa senang
walau sampai terbongkang atau terlentang
kerana ketika itu aku sudah senang
untuk bagi yang tersayang juga senang-lenang

semoga
pada satu petang
anda semua akan terkenang
pada insan ini yang lintang pukang
dan terus tersenyum tenang senang

adhoc idea:
KetamGila MadCrab
2/8/2012 - 12:38pm
Facebook

Koghieng Lautan

Written By Pentadbir on Tuesday, September 27, 2011 | 10:07 PM

Suka dengar lagu loghat Negeri Sembilan tetapi tidak faham maksudnya? Entah macam mana aku tergerak untuk memberikan komen ke atas lagu ini nyanyian Ally Noor dan Mastura. Walaupun melodinya diambil dari sebuah lagu lama (aku pun tak ingat nama lagu tu) tetapi lirik yang telah diubah ini menarik perhatian aku.


(P)
Apo dighonong pado bulan
hilang bilo timbul mentari
Apolah malang nasib den tuan
orang dicinto jauh diri

(P)
Apo guno tali dighontang
elok pinta dari diluruit
apolah guno meraso sayang
kalau topok tidak basambuit

(L)
Bukan abang tidak meghaso
bukan abang bapaling hati
takuit adik kan tasekso
ghaso lamo kok mananti

(L&P)
Ghamai orang ko Toluk Komang
Saling lupo Sori Menanti
Andai eh kito bajanji sayang
kogheng lautan kito nanti

Sukar memahaminya? Mari kita terjemahkan satu persatu:


(P)
Apa direnung pada bulan
hilang bila timbul matahari
Apalah malang nasibku tuan
orang dicinta jauh diri

(P)
Apa guna tali direntang
elok pintal dari dilurut
apalah guna merasa sayang
kalau tepok tidak bersambut

(L)
Bukan abang tidak merasa
bukan abang berubah hati
Takut adik kan terseksa
rasa lama kalau menanti

(L&P)
Ramai orang ke Teluk Kemang
Sering lupa Seri Menanti
Andainya kita berjanji sayang
kering lautan kita nanti

Sudah boleh memahami apa yang ingin disampaikan? hehehe

Tarian Yang Menyentuh Jiwa

Written By Pentadbir on Monday, April 11, 2011 | 10:32 PM

Sudah terlalu lama aku tidak menonton tarian yang memberi cerita dan makna sehinggalah aku menonton "So You Think You Can Dance" baru-baru ini.

Mungkin ada di antara anda yang tidak memahami. Oleh itu biarlah aku berikan sedikit sinopsis supaya anda dapat menghayatinya.

Tarian ini dipersembahkan dalam tiga segmen:

Segmen 1: Mengisahkan seorang ibu yang mengidap penyakit barah payudara yang semakin putus harapan. Semangatnya untuk terus hidup disemarakkan oleh anak lelakinya. Dalam kepayahan menanggung beban si ibu, si anak ingin sekali melempar jauh-jauh penyakit tersebut.

Segmen 2: Sorotan kembali kepada hari-hari bahagia mereka. Ini dipersembahkan dengan irama dan geraktari yang pantas dan riang.

Segmen 3: Membayangkan kesakitan yang semakin parah namun si anak setia bersama membantu untuk meneruskan kehidupan si ibu walau dalam keadaan dipapah.

Catitan:
Tarian ini direka oleh seorang kereografer muda untuk ibunya yang juga seorang pesakit barah payudara. HEBAT!

Puisi - Senja Di Masa Lalu

Written By Pentadbir on Tuesday, June 15, 2010 | 6:49 PM

I,
  • Senja itu,
  • terukir pertemuan
  • dari sapa ramah mesra malu
  • tanpa perjanjian
  • tanpa perancangan
  • tanpa permintaan.
  • Menyusul ucapbicara bercanda
  • gurau renungan
  • sentuhan hati
  • mengisi kesunyian
  • kesepian
  • kekosongan
  • Menyusul perjalanan
  • tanpa tujuan
  • tanpa perhitungan
  • mengejar masa berlalu
II
  • Senja itu,
  • terpinga-pinga rajawali
  • mencari perhentian tanpa rela
  • dan sekuntum mawar merah
  • menghiasi suasana
  • memenuhi citarasa
  • kembang semerbak harum
  • Berdosakah insan ini
  • menghiris sekeping janji?
  • Dan
  • persoalan di persimpangan
  • bukan bukti ketidaksetiaan
  • bukan pasti kecurangan
  • tetapi
  • kejujurankah?
III
  • Senja itu,
  • ada alunan mendayu
  • bergema di kesepian waktu
  • terdampar dalam pencarian
  • terkapar tanpa pengertian
  • Dan
  • bersuara camar
  • gelombang menyusul pantai
  • namun
  • teguhkah penantian ini?
  • Tiada kepastian.
  • Siapa akan terluka?
  • Aku?
  • Dia?
  • Atau dia?
IV
  • Senja itu
  • pertemuan dimamah masa
  • dan
  • berlalu tanpa ucapbicara.
Oleh:
K. G. Zan
Shah Alam

Puisi: Takhta Kasih

Written By Pentadbir on Tuesday, June 1, 2010 | 3:23 AM


Di persada ini
bertakhta sekuntum senyuman
menghiris luka sebuah kehampaan.

Dan,
berlalu sebuah kenangan
dibawa debu
di remang kota.

Dan,
bermula sebuah pencarian
dengan tekad
dengan kehinaan.

Di persada ini
kutakhtakan sebuah harapan
dari kehancuran

Oleh:
K.G. Zan
Shah Alam